Friday 15 May 2009

Kerambit


Satu jenis senjata kecil yang dipakai oleh orang2 Melayu pada dahulu kala. Ianya merupakan senjata sulit dan sentiasa tersorok oleh pemakainya. Bila diperlukan ianya barulah dikeluarkan dan penggunaannya pun mestilah cekap dan pakar. Jika tidak kemungkinan akan memakan diri pula.

Saiznya kecil cukup2 menutupi tapak tangan. Pemegangnya ada dua jenis, satu jenis mempunyai pemegang yang berlubang dan satu jenis lagi cuma pemegang sahaja. Jenis yang berlubang itu lagi kemas dan paling biasa digunakan. Matanya pula, bengkok seperti sabit kecil. Bentuk sabit inilah yang mengakibatkan kesan yang amat parah bila digunakan.

Akibat kecederaan dari senjata kerambit ini amatlah bisa sekali kerana ianya mampu memburaikan isi perut. Sesiapa yang menggunakan alat senjata ini memang pun kejam kerana akibatnya yang dahsat itu.

Saturday 18 April 2009

Penapis Air

Penapis Air ini diperbuat dari tanah-liat dan campuran pasir halus. Berbentuk lesung dan diletakkan ditempat yang tinggi separas pinggang kita. Tempat letaknya ini ialah sebuah meja yang ditebuk untuk memuatkan penapis tersebut. Dibawah penapis itu diletaklah pula penakong air untuk menakung air bersih yang keluar menitis dari penapis tersebut.

Air dari sungai atau perigi yang selalunya keruh dan kotor akan dituangkan kedalam penapis tersebut dan penapis akan menapis air kotor tersebut. Ianya bertukar jerneh tetapi tidaklah sebersih yang diharapkan. Namun ianya adalah lebih baik dari air yang diambil terus dari perigi. Hasil dari tapisan tersebut ianya masih perlu dimasak untuk diminum.

Untuk mandi manda dan mencuci pakaian masih lagi menggunakan air sungai atau air perigi. Air dari penapis air ini cuma untuk kegunaan minum dan memasak makanan sahaja.

Dirumah saya pernah menggunakan alat ini ditahun 50an dahulu. Ianya kian diketepikan apabila kami menggali perigi yang lebih dalam iaitu anggaran 20 kaki dalamnya dan airnya pun jernih dan berseh. Kemudahan paip air hanya diperolehi pada awal tahun 70an.

Thursday 9 April 2009

Keris Panjang, Keris Penyalang or Keris Hukum or Keris Kuasa




Keris sundang adalah sejenis senjata warisan dari datuk, nenek-moyang kita. Masa kegemilangannya kini telah malap dan hanya dikenali sebagai museum-piece sahaja. Namun pada dahulu kala senjata ini adalah senjata bagi orang2 besar negeri dan juga kerabat di raja.

Berbanding dengan kris, sundang tidak mempunyai sebarang luk lansung, ianya menyerupai mata lembing tetapi lebih panjang lagi. Tugas utamanya adalah untuk menikam dan juga menyantas musuh, berbanding dengan kris hanya untuk menikam sahaja. Sundang dalam simpanan saya ini agak berusia jugaklah, ianya kepunyaan arwah atuk saya yang telah meninggal dunia pada tahun 1949.

Setelah diamati saya dapati buatan senjata ini amat halus dan seninya pun amat tinggi. Ukurannya adalah seperti berikut:

Keseluruhan panjang .... 56.5 cm
Panjang mata sundang.... 43.5 cm
Hulu sundang ........... 1.9 cm
Sarung sundang ......... 9.0 cm

Saturday 21 March 2009

Seterika Arang


Seterika arang adalah satu satunya alat yang digunakan untuk menggosok pakaian kita sebelum adanya kuasa letrik. Kini seterika yang digunakan adalah seterika karan yang mana menggunakan kuasa letrik untuk memanaskannya dan lagi mudah serta elok hasilnya.

Selain dari arang, tempurung juga digunakan untuk kuasa pemanas seterika arang ini. Ada juga kadangkala itu sebarang jenis bara api digunakan tetapi tidaklah sebaik arang atau tempurung kelapa. Kini seterika arang sudah menjadi barang hiasan antik sahaja kerana ianya tidaklah sebaik seterika karan yang ada sekarang.

Thursday 19 March 2009

Sekapur Sireh


Sekapur sireh adalah makanan tradisional bagi orang-orangMelayu. Ianya merupakan salah satu makanan rengan yang kian pupus sekarang ini. Namun ianya masih kekal dengan urusan adat terutamanya semasa meminang dan juga perkahwinan. Itu juga kian kurang dipraktikkan lagi kerana ramai yang memilih cara rengkas dan meninggalkan cara cara lama sedikit demi sedikit.

Selalunya makanan 'sireh' ini disimpan dalam satu tempat khas yang indah supaya ianya nampak anggun demi untuk menjaga adat. Bekas bekas sireh, pinang, kapur, gambir diperbuat dari tembaga yang indah dan disusun indah dalam satu kotak yang dipanggil 'tepak sireh'.

Ramuan sekapur sireh ialah sehelai sireh, disapu dengan sedikit kapur, dimasukkan intinya sekacip pinang, gambir dan ada juga dicampurkan sedikit bunga cengkih. Kemudiannya sireh menjadi pembungkus ramuan ramuan tadi dan ianya dilipat indah supaya mudah masuk kedalam mulut. Sireh dikunyah dan apabila ianya sudah hampir hancur dan ditelan barulah perbicaraan atau perundingan dimulakan. Ini jika dimakan semasa melaksanakan tugas adat.

Orang orang tua dikampung masih ada juga yang minat makan sireh lagi. Mereka makan sireh kerana sudah menjadi kebiasaan dan kebiasaan ini kian hilang sekarang ini.

Saturday 14 March 2009

Lesung




Lesung ini selalunya ada dua jenis iaitu lesung kaki dan lesung tangan. Namun yang paling biasa digunakan ialah lesung kaki. Lesung kaki memerlukan beberapa orang untuk pengemudinya untuk mendapatkan hasil yang dharapkan manakala lesung tangan cuma memerlukan seorang operator sahaja.

Asasnya lesung mempunyai dua bahagian iaitu lesung dan antannya. Lesung diperbuat dari kayu iaitu biasanya pokok leban dan mempunyai lubang seperti satu periok yang besar. Antan pula ialah pemukul yang seperti belantan yang boleh memuat dalam lesung tersebut. Biasanya lesung adalah untuk menumbuk padi. Padi dimasukkan kedalam lesung dan antan tersebuta adalah pemukul padi tersebut supaya padi longgar dan tanggal kulitnya sehingga meninggalkan beras.

Zaman dahulu setiap rumah mesti ada lesung. Kalau tak ada lesung tak makan nasi lah akibatnya. Lesung ini juga boleh membuat emping. Padi yang baru mencelah masak dituai dan diirek serta mendapatkan padi setengah masak tersebut. Kemudiannya digoreng padi tersebut dan apabila sudah mula meletup letup jadi berteh terus dituangkan ke dalam lesung. Masa itulah lesung di pijak dengan rancaknya supaya emping menjadi lebih rapuh dan nipis. Selalunya masa membuat emping inilah paling seronok kerana bolehlah dikatakan satu pesta yang selalu ditunggu tunggu.

Kemudian mesin padi telah diperkenalkan. Perlahan lahan lesung diketepikan dan kemudiannya pupus begitu sahaja. Memesin padi cukup murah, upahnya adalah 2 sen sekati dan jika bawa seguni padi seberat 50 kati, baru saja 100 sen atau $1.00.

Saturday 7 March 2009

Kacip Pinang

Kacip pinang ialah sejenis pisau yang direka khas untuk memotong pinang. Alat ini sangat penting bagi pemakan sireh, oleh kerana orang sekarang sudah kurang atau pun tidak memakan sireh lagi maka alat ini pun sama sama pupus bersama. Inilah juga alat warisan Melayu yang turun temurun mengikut zaman.

Kacip sireh yang diperbuat daripada besi ini mempunyai seninya tersendiri untuk menggunakannya. Begitu juga bentuknya yang diukir berbagai bentuk hanya untuk menghiaskan alat tersebut. Memang pun alat ini hanya untuk mengupas dan memotong pinang sahaja dan kegunaan lain memang sukar digunakan.

Tuesday 3 March 2009

Gobek


Gobek ialah sejenis alat untuk menghancurkan sireh. Ianya khusus digunakan oleh nenek tua yang sudah berumor kerana mereka tidak mempunyai gigi yang kuat atau lansung tidak mempunyai gigi lagi. Dahulu kala nenek nenek memang suka makan sireh tetapi nenek sekarang sudah moden dan makanan tersebut sudah lama diabaikan.

Selalunya gobek ini diperbuat dari tembaga putih dan terdiri dari tiga bahagian iaitu gobek, pelumat dan penjoloknya. Apabila sireh serta ramuannya telah dibuat, maka ianya disumbatkan kedalam gobek tersebut. Pelumatnya berfungsi sebagai menghancurkan sireh tersebut dengan memukul sireh dalam gobek itu berulang kali sehingga ianya hancur. Bila sudah hancur maka ianya dituangkan ketapak tangan dengan bantuan penjolok dan boleh dimakan. (Gambar belas kesian dari Blog Memori http://kaytieze.blogspot.com/)

Sireh dimakan tidak sempurna jika tidak disamakan dengan 'sentil' sekali. Sentil ini ialah tembakau yang dipintal dan di sumbatkan dicelah gigi depan guna untuk menambahkan lazat sireh serta mencuci gigi dari kotoran serpihan sireh yang melekat di gigi.

Friday 27 February 2009

Pelita Ayan

Pelita Ayan adalah satu satunya punca cahaya yang digunakan di malam hari di masa masa dahulu. Pelita memanglah sejenis lampu dan ayan itu pula kerana ianya diperbuat daripada besi makanya dipanggil ayan atau 'iron' dalam Bahasa Inggerisnya. Pelita ini diberi kuasa bakarannya dari minyak gas yang masa dulu kala satu botol sekati hanya berharga 10 sen sahaja.

Minyak tanah atau dipanggil minyak gas ini kuat jugak baunya. Kalau dah terkena kat tangan atau badan memang lekatlah baunya buat seketika. Memang tak selesa lansung dibuatnya. Masa dulu dulu mana ada letrik, letrik mula masuk kampung mungkin penghujung tahun 60an saja, maka pelita ayanlah yang menjadi penerang alam di kala malam.

Yang tak seronoknya pelita ayan ini ialah hidung berjelaga. Pagi esoknya sudah pasti hidung dan bulu hidung tebal hitam oleh kerana kena jelaga atau asap pelita yan tersebut. Itu sebab semasa mentelaah atau buat kerja rumah dimalam hari tu jangan dekat sangat dengan pelita. Kalau tidak itulah musibahnya dihari esoknya.

TUAI

Tuai ialah sejenis pisau yang direka khas untuk memotong tangkai buah padi. Ianya memerlukan kepakaran untuk menggunakannya dengan cekap. Namun begitu, sudah lazimnya semua orang kampung pandai menggunakan tuai ini. Dalam ingatan saya tuai ini kian pupus dan kurang sangat digunakan mulai tahun 1960. Ini kerana orang kampung sudah mula menggunakan 'banting' kerana ianya lebih ekonomikal dan menjimatkan tenaga dan masa.

Tuai banyak dikaitkan dengan puisi oleh penyair dahulu kala. Ianya melambangkan penghidupan seharian orang kampung dan lumrahnya menuai padi ini pula adalah menjadi kepakaran bagi kaum wanita dan juga anak dara. Kaum lelaki walaupun boleh juga menggunakan tuai namun tidaklah sepantas atau seelok kaum wanita menggunakannya.

Biduanita Rafeah Buang pernah mendendangkan lagu ''gurindam jiwa'' yang antara lain, ada mengaitkan perkataan ''tuai'' ini:

Tuai padi antara masak
Esok jangan layu layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu rinduan!

KEPOK PADI


Gambar penghias blog saya ini ialah gambar kepok padi yang kiranya sangat besarlah ni. Boleh memuat lebih dari 2000 gantang gamaknya. Kepok padi adalah sebuah rumah khas dibena untuk menyimpan padi. Masa dulu kala semua rumah ada mempunyai rumah kecil yang berfungsi sebagai kepok padi.


Orang kampung selalunya menanam padi untuk keperluan asas mereka iaitu makanan. Salepas padi berbuah dan masak ianya terus dituai dan disimpan di dalam kepok padi. Dari sinilah padi diambil sedikit demi sedikit untuk keperluan harian. Padi akan diirik dan dianginkan supaya membuang padi padi yang sambang. Kemudian ianya di jemur bagi lekang isi dengan kulitnya. Kemudian barulah ditumbuk padi tersebut dengan menggunakan lesung tangan atau pun lesung kaki. Kemudian barulah terhasil beras.


Kini semuanya serba mudah. Beras seberat 5 kilo boleh dibeli dengan RM20 dan tahan satu bulan bagi satu keluraga yang sederhana besarnya. Maka kalau pendapatan sudah melebihi RM1000 satu bulan, apalah gunanya menanam padi lagi. Akibatnya sawah padi kini terbiar dan ditumbuhi mensiang dan juga semak samun.

Antik

Tujuan saya menulis blog bertajuk 'antik' ini ialah untuk mengimbas kembali peristiwa peristiwa dahulu kala. Dengan menggunakan peralatan yang serba mudah diperolehi atau dibuat, orang orang dahulu kala boleh hidup dengan aman dan tenteramnya.

Peralatan yang saya akan paparkan ini bukanlah sahaja kegunaannya untuk menampung keperluan penghidupan seharian sahaja tetapi juga menjurus kepada serba serbi keperluan hidup seharian dikala itu. Dimasa itu peralatan mudah yang digunakan bukanlah semestinya semua orang memilikinya. Ada juga peralatan yang hanya orang kaya sahaja menggunakannya dan orang meskin pula mengadakan peralatan yang begitu perlu sahaja.

Apa apa pun hakikatnya, masa dulu memang hidup simple dan mudah sahaja. Orang muda sekarang akan tertawa melihat atau mengetahui peralatan yang pernah digunakan oleh bapa, nenek atau moyang mereka dahaulu.