Friday 27 February 2009

Pelita Ayan

Pelita Ayan adalah satu satunya punca cahaya yang digunakan di malam hari di masa masa dahulu. Pelita memanglah sejenis lampu dan ayan itu pula kerana ianya diperbuat daripada besi makanya dipanggil ayan atau 'iron' dalam Bahasa Inggerisnya. Pelita ini diberi kuasa bakarannya dari minyak gas yang masa dulu kala satu botol sekati hanya berharga 10 sen sahaja.

Minyak tanah atau dipanggil minyak gas ini kuat jugak baunya. Kalau dah terkena kat tangan atau badan memang lekatlah baunya buat seketika. Memang tak selesa lansung dibuatnya. Masa dulu dulu mana ada letrik, letrik mula masuk kampung mungkin penghujung tahun 60an saja, maka pelita ayanlah yang menjadi penerang alam di kala malam.

Yang tak seronoknya pelita ayan ini ialah hidung berjelaga. Pagi esoknya sudah pasti hidung dan bulu hidung tebal hitam oleh kerana kena jelaga atau asap pelita yan tersebut. Itu sebab semasa mentelaah atau buat kerja rumah dimalam hari tu jangan dekat sangat dengan pelita. Kalau tidak itulah musibahnya dihari esoknya.

TUAI

Tuai ialah sejenis pisau yang direka khas untuk memotong tangkai buah padi. Ianya memerlukan kepakaran untuk menggunakannya dengan cekap. Namun begitu, sudah lazimnya semua orang kampung pandai menggunakan tuai ini. Dalam ingatan saya tuai ini kian pupus dan kurang sangat digunakan mulai tahun 1960. Ini kerana orang kampung sudah mula menggunakan 'banting' kerana ianya lebih ekonomikal dan menjimatkan tenaga dan masa.

Tuai banyak dikaitkan dengan puisi oleh penyair dahulu kala. Ianya melambangkan penghidupan seharian orang kampung dan lumrahnya menuai padi ini pula adalah menjadi kepakaran bagi kaum wanita dan juga anak dara. Kaum lelaki walaupun boleh juga menggunakan tuai namun tidaklah sepantas atau seelok kaum wanita menggunakannya.

Biduanita Rafeah Buang pernah mendendangkan lagu ''gurindam jiwa'' yang antara lain, ada mengaitkan perkataan ''tuai'' ini:

Tuai padi antara masak
Esok jangan layu layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu rinduan!

KEPOK PADI


Gambar penghias blog saya ini ialah gambar kepok padi yang kiranya sangat besarlah ni. Boleh memuat lebih dari 2000 gantang gamaknya. Kepok padi adalah sebuah rumah khas dibena untuk menyimpan padi. Masa dulu kala semua rumah ada mempunyai rumah kecil yang berfungsi sebagai kepok padi.


Orang kampung selalunya menanam padi untuk keperluan asas mereka iaitu makanan. Salepas padi berbuah dan masak ianya terus dituai dan disimpan di dalam kepok padi. Dari sinilah padi diambil sedikit demi sedikit untuk keperluan harian. Padi akan diirik dan dianginkan supaya membuang padi padi yang sambang. Kemudian ianya di jemur bagi lekang isi dengan kulitnya. Kemudian barulah ditumbuk padi tersebut dengan menggunakan lesung tangan atau pun lesung kaki. Kemudian barulah terhasil beras.


Kini semuanya serba mudah. Beras seberat 5 kilo boleh dibeli dengan RM20 dan tahan satu bulan bagi satu keluraga yang sederhana besarnya. Maka kalau pendapatan sudah melebihi RM1000 satu bulan, apalah gunanya menanam padi lagi. Akibatnya sawah padi kini terbiar dan ditumbuhi mensiang dan juga semak samun.

Antik

Tujuan saya menulis blog bertajuk 'antik' ini ialah untuk mengimbas kembali peristiwa peristiwa dahulu kala. Dengan menggunakan peralatan yang serba mudah diperolehi atau dibuat, orang orang dahulu kala boleh hidup dengan aman dan tenteramnya.

Peralatan yang saya akan paparkan ini bukanlah sahaja kegunaannya untuk menampung keperluan penghidupan seharian sahaja tetapi juga menjurus kepada serba serbi keperluan hidup seharian dikala itu. Dimasa itu peralatan mudah yang digunakan bukanlah semestinya semua orang memilikinya. Ada juga peralatan yang hanya orang kaya sahaja menggunakannya dan orang meskin pula mengadakan peralatan yang begitu perlu sahaja.

Apa apa pun hakikatnya, masa dulu memang hidup simple dan mudah sahaja. Orang muda sekarang akan tertawa melihat atau mengetahui peralatan yang pernah digunakan oleh bapa, nenek atau moyang mereka dahaulu.