Saturday 21 March 2009

Seterika Arang


Seterika arang adalah satu satunya alat yang digunakan untuk menggosok pakaian kita sebelum adanya kuasa letrik. Kini seterika yang digunakan adalah seterika karan yang mana menggunakan kuasa letrik untuk memanaskannya dan lagi mudah serta elok hasilnya.

Selain dari arang, tempurung juga digunakan untuk kuasa pemanas seterika arang ini. Ada juga kadangkala itu sebarang jenis bara api digunakan tetapi tidaklah sebaik arang atau tempurung kelapa. Kini seterika arang sudah menjadi barang hiasan antik sahaja kerana ianya tidaklah sebaik seterika karan yang ada sekarang.

Thursday 19 March 2009

Sekapur Sireh


Sekapur sireh adalah makanan tradisional bagi orang-orangMelayu. Ianya merupakan salah satu makanan rengan yang kian pupus sekarang ini. Namun ianya masih kekal dengan urusan adat terutamanya semasa meminang dan juga perkahwinan. Itu juga kian kurang dipraktikkan lagi kerana ramai yang memilih cara rengkas dan meninggalkan cara cara lama sedikit demi sedikit.

Selalunya makanan 'sireh' ini disimpan dalam satu tempat khas yang indah supaya ianya nampak anggun demi untuk menjaga adat. Bekas bekas sireh, pinang, kapur, gambir diperbuat dari tembaga yang indah dan disusun indah dalam satu kotak yang dipanggil 'tepak sireh'.

Ramuan sekapur sireh ialah sehelai sireh, disapu dengan sedikit kapur, dimasukkan intinya sekacip pinang, gambir dan ada juga dicampurkan sedikit bunga cengkih. Kemudiannya sireh menjadi pembungkus ramuan ramuan tadi dan ianya dilipat indah supaya mudah masuk kedalam mulut. Sireh dikunyah dan apabila ianya sudah hampir hancur dan ditelan barulah perbicaraan atau perundingan dimulakan. Ini jika dimakan semasa melaksanakan tugas adat.

Orang orang tua dikampung masih ada juga yang minat makan sireh lagi. Mereka makan sireh kerana sudah menjadi kebiasaan dan kebiasaan ini kian hilang sekarang ini.

Saturday 14 March 2009

Lesung




Lesung ini selalunya ada dua jenis iaitu lesung kaki dan lesung tangan. Namun yang paling biasa digunakan ialah lesung kaki. Lesung kaki memerlukan beberapa orang untuk pengemudinya untuk mendapatkan hasil yang dharapkan manakala lesung tangan cuma memerlukan seorang operator sahaja.

Asasnya lesung mempunyai dua bahagian iaitu lesung dan antannya. Lesung diperbuat dari kayu iaitu biasanya pokok leban dan mempunyai lubang seperti satu periok yang besar. Antan pula ialah pemukul yang seperti belantan yang boleh memuat dalam lesung tersebut. Biasanya lesung adalah untuk menumbuk padi. Padi dimasukkan kedalam lesung dan antan tersebuta adalah pemukul padi tersebut supaya padi longgar dan tanggal kulitnya sehingga meninggalkan beras.

Zaman dahulu setiap rumah mesti ada lesung. Kalau tak ada lesung tak makan nasi lah akibatnya. Lesung ini juga boleh membuat emping. Padi yang baru mencelah masak dituai dan diirek serta mendapatkan padi setengah masak tersebut. Kemudiannya digoreng padi tersebut dan apabila sudah mula meletup letup jadi berteh terus dituangkan ke dalam lesung. Masa itulah lesung di pijak dengan rancaknya supaya emping menjadi lebih rapuh dan nipis. Selalunya masa membuat emping inilah paling seronok kerana bolehlah dikatakan satu pesta yang selalu ditunggu tunggu.

Kemudian mesin padi telah diperkenalkan. Perlahan lahan lesung diketepikan dan kemudiannya pupus begitu sahaja. Memesin padi cukup murah, upahnya adalah 2 sen sekati dan jika bawa seguni padi seberat 50 kati, baru saja 100 sen atau $1.00.

Saturday 7 March 2009

Kacip Pinang

Kacip pinang ialah sejenis pisau yang direka khas untuk memotong pinang. Alat ini sangat penting bagi pemakan sireh, oleh kerana orang sekarang sudah kurang atau pun tidak memakan sireh lagi maka alat ini pun sama sama pupus bersama. Inilah juga alat warisan Melayu yang turun temurun mengikut zaman.

Kacip sireh yang diperbuat daripada besi ini mempunyai seninya tersendiri untuk menggunakannya. Begitu juga bentuknya yang diukir berbagai bentuk hanya untuk menghiaskan alat tersebut. Memang pun alat ini hanya untuk mengupas dan memotong pinang sahaja dan kegunaan lain memang sukar digunakan.

Tuesday 3 March 2009

Gobek


Gobek ialah sejenis alat untuk menghancurkan sireh. Ianya khusus digunakan oleh nenek tua yang sudah berumor kerana mereka tidak mempunyai gigi yang kuat atau lansung tidak mempunyai gigi lagi. Dahulu kala nenek nenek memang suka makan sireh tetapi nenek sekarang sudah moden dan makanan tersebut sudah lama diabaikan.

Selalunya gobek ini diperbuat dari tembaga putih dan terdiri dari tiga bahagian iaitu gobek, pelumat dan penjoloknya. Apabila sireh serta ramuannya telah dibuat, maka ianya disumbatkan kedalam gobek tersebut. Pelumatnya berfungsi sebagai menghancurkan sireh tersebut dengan memukul sireh dalam gobek itu berulang kali sehingga ianya hancur. Bila sudah hancur maka ianya dituangkan ketapak tangan dengan bantuan penjolok dan boleh dimakan. (Gambar belas kesian dari Blog Memori http://kaytieze.blogspot.com/)

Sireh dimakan tidak sempurna jika tidak disamakan dengan 'sentil' sekali. Sentil ini ialah tembakau yang dipintal dan di sumbatkan dicelah gigi depan guna untuk menambahkan lazat sireh serta mencuci gigi dari kotoran serpihan sireh yang melekat di gigi.