Friday, 27 February 2009

TUAI

Tuai ialah sejenis pisau yang direka khas untuk memotong tangkai buah padi. Ianya memerlukan kepakaran untuk menggunakannya dengan cekap. Namun begitu, sudah lazimnya semua orang kampung pandai menggunakan tuai ini. Dalam ingatan saya tuai ini kian pupus dan kurang sangat digunakan mulai tahun 1960. Ini kerana orang kampung sudah mula menggunakan 'banting' kerana ianya lebih ekonomikal dan menjimatkan tenaga dan masa.

Tuai banyak dikaitkan dengan puisi oleh penyair dahulu kala. Ianya melambangkan penghidupan seharian orang kampung dan lumrahnya menuai padi ini pula adalah menjadi kepakaran bagi kaum wanita dan juga anak dara. Kaum lelaki walaupun boleh juga menggunakan tuai namun tidaklah sepantas atau seelok kaum wanita menggunakannya.

Biduanita Rafeah Buang pernah mendendangkan lagu ''gurindam jiwa'' yang antara lain, ada mengaitkan perkataan ''tuai'' ini:

Tuai padi antara masak
Esok jangan layu layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu rinduan!

No comments:

Post a Comment