Showing posts with label alat. Show all posts
Showing posts with label alat. Show all posts

Thursday, 20 October 2011

Lampu Gas



Lampu gas ini merupakan lampu yang amat terang benderang masa dahulu. Ianya dikuasakan dengan minyak gas. Semasa kenduri kendara lampu2 gas inilah yang menerangi alam semesta serta premis2 dimana kenduri diadakan.

Saturday, 18 April 2009

Penapis Air

Penapis Air ini diperbuat dari tanah-liat dan campuran pasir halus. Berbentuk lesung dan diletakkan ditempat yang tinggi separas pinggang kita. Tempat letaknya ini ialah sebuah meja yang ditebuk untuk memuatkan penapis tersebut. Dibawah penapis itu diletaklah pula penakong air untuk menakung air bersih yang keluar menitis dari penapis tersebut.

Air dari sungai atau perigi yang selalunya keruh dan kotor akan dituangkan kedalam penapis tersebut dan penapis akan menapis air kotor tersebut. Ianya bertukar jerneh tetapi tidaklah sebersih yang diharapkan. Namun ianya adalah lebih baik dari air yang diambil terus dari perigi. Hasil dari tapisan tersebut ianya masih perlu dimasak untuk diminum.

Untuk mandi manda dan mencuci pakaian masih lagi menggunakan air sungai atau air perigi. Air dari penapis air ini cuma untuk kegunaan minum dan memasak makanan sahaja.

Dirumah saya pernah menggunakan alat ini ditahun 50an dahulu. Ianya kian diketepikan apabila kami menggali perigi yang lebih dalam iaitu anggaran 20 kaki dalamnya dan airnya pun jernih dan berseh. Kemudahan paip air hanya diperolehi pada awal tahun 70an.

Saturday, 21 March 2009

Seterika Arang


Seterika arang adalah satu satunya alat yang digunakan untuk menggosok pakaian kita sebelum adanya kuasa letrik. Kini seterika yang digunakan adalah seterika karan yang mana menggunakan kuasa letrik untuk memanaskannya dan lagi mudah serta elok hasilnya.

Selain dari arang, tempurung juga digunakan untuk kuasa pemanas seterika arang ini. Ada juga kadangkala itu sebarang jenis bara api digunakan tetapi tidaklah sebaik arang atau tempurung kelapa. Kini seterika arang sudah menjadi barang hiasan antik sahaja kerana ianya tidaklah sebaik seterika karan yang ada sekarang.

Saturday, 14 March 2009

Lesung




Lesung ini selalunya ada dua jenis iaitu lesung kaki dan lesung tangan. Namun yang paling biasa digunakan ialah lesung kaki. Lesung kaki memerlukan beberapa orang untuk pengemudinya untuk mendapatkan hasil yang dharapkan manakala lesung tangan cuma memerlukan seorang operator sahaja.

Asasnya lesung mempunyai dua bahagian iaitu lesung dan antannya. Lesung diperbuat dari kayu iaitu biasanya pokok leban dan mempunyai lubang seperti satu periok yang besar. Antan pula ialah pemukul yang seperti belantan yang boleh memuat dalam lesung tersebut. Biasanya lesung adalah untuk menumbuk padi. Padi dimasukkan kedalam lesung dan antan tersebuta adalah pemukul padi tersebut supaya padi longgar dan tanggal kulitnya sehingga meninggalkan beras.

Zaman dahulu setiap rumah mesti ada lesung. Kalau tak ada lesung tak makan nasi lah akibatnya. Lesung ini juga boleh membuat emping. Padi yang baru mencelah masak dituai dan diirek serta mendapatkan padi setengah masak tersebut. Kemudiannya digoreng padi tersebut dan apabila sudah mula meletup letup jadi berteh terus dituangkan ke dalam lesung. Masa itulah lesung di pijak dengan rancaknya supaya emping menjadi lebih rapuh dan nipis. Selalunya masa membuat emping inilah paling seronok kerana bolehlah dikatakan satu pesta yang selalu ditunggu tunggu.

Kemudian mesin padi telah diperkenalkan. Perlahan lahan lesung diketepikan dan kemudiannya pupus begitu sahaja. Memesin padi cukup murah, upahnya adalah 2 sen sekati dan jika bawa seguni padi seberat 50 kati, baru saja 100 sen atau $1.00.

Saturday, 7 March 2009

Kacip Pinang

Kacip pinang ialah sejenis pisau yang direka khas untuk memotong pinang. Alat ini sangat penting bagi pemakan sireh, oleh kerana orang sekarang sudah kurang atau pun tidak memakan sireh lagi maka alat ini pun sama sama pupus bersama. Inilah juga alat warisan Melayu yang turun temurun mengikut zaman.

Kacip sireh yang diperbuat daripada besi ini mempunyai seninya tersendiri untuk menggunakannya. Begitu juga bentuknya yang diukir berbagai bentuk hanya untuk menghiaskan alat tersebut. Memang pun alat ini hanya untuk mengupas dan memotong pinang sahaja dan kegunaan lain memang sukar digunakan.

Tuesday, 3 March 2009

Gobek


Gobek ialah sejenis alat untuk menghancurkan sireh. Ianya khusus digunakan oleh nenek tua yang sudah berumor kerana mereka tidak mempunyai gigi yang kuat atau lansung tidak mempunyai gigi lagi. Dahulu kala nenek nenek memang suka makan sireh tetapi nenek sekarang sudah moden dan makanan tersebut sudah lama diabaikan.

Selalunya gobek ini diperbuat dari tembaga putih dan terdiri dari tiga bahagian iaitu gobek, pelumat dan penjoloknya. Apabila sireh serta ramuannya telah dibuat, maka ianya disumbatkan kedalam gobek tersebut. Pelumatnya berfungsi sebagai menghancurkan sireh tersebut dengan memukul sireh dalam gobek itu berulang kali sehingga ianya hancur. Bila sudah hancur maka ianya dituangkan ketapak tangan dengan bantuan penjolok dan boleh dimakan. (Gambar belas kesian dari Blog Memori http://kaytieze.blogspot.com/)

Sireh dimakan tidak sempurna jika tidak disamakan dengan 'sentil' sekali. Sentil ini ialah tembakau yang dipintal dan di sumbatkan dicelah gigi depan guna untuk menambahkan lazat sireh serta mencuci gigi dari kotoran serpihan sireh yang melekat di gigi.

Friday, 27 February 2009

Pelita Ayan

Pelita Ayan adalah satu satunya punca cahaya yang digunakan di malam hari di masa masa dahulu. Pelita memanglah sejenis lampu dan ayan itu pula kerana ianya diperbuat daripada besi makanya dipanggil ayan atau 'iron' dalam Bahasa Inggerisnya. Pelita ini diberi kuasa bakarannya dari minyak gas yang masa dulu kala satu botol sekati hanya berharga 10 sen sahaja.

Minyak tanah atau dipanggil minyak gas ini kuat jugak baunya. Kalau dah terkena kat tangan atau badan memang lekatlah baunya buat seketika. Memang tak selesa lansung dibuatnya. Masa dulu dulu mana ada letrik, letrik mula masuk kampung mungkin penghujung tahun 60an saja, maka pelita ayanlah yang menjadi penerang alam di kala malam.

Yang tak seronoknya pelita ayan ini ialah hidung berjelaga. Pagi esoknya sudah pasti hidung dan bulu hidung tebal hitam oleh kerana kena jelaga atau asap pelita yan tersebut. Itu sebab semasa mentelaah atau buat kerja rumah dimalam hari tu jangan dekat sangat dengan pelita. Kalau tidak itulah musibahnya dihari esoknya.

TUAI

Tuai ialah sejenis pisau yang direka khas untuk memotong tangkai buah padi. Ianya memerlukan kepakaran untuk menggunakannya dengan cekap. Namun begitu, sudah lazimnya semua orang kampung pandai menggunakan tuai ini. Dalam ingatan saya tuai ini kian pupus dan kurang sangat digunakan mulai tahun 1960. Ini kerana orang kampung sudah mula menggunakan 'banting' kerana ianya lebih ekonomikal dan menjimatkan tenaga dan masa.

Tuai banyak dikaitkan dengan puisi oleh penyair dahulu kala. Ianya melambangkan penghidupan seharian orang kampung dan lumrahnya menuai padi ini pula adalah menjadi kepakaran bagi kaum wanita dan juga anak dara. Kaum lelaki walaupun boleh juga menggunakan tuai namun tidaklah sepantas atau seelok kaum wanita menggunakannya.

Biduanita Rafeah Buang pernah mendendangkan lagu ''gurindam jiwa'' yang antara lain, ada mengaitkan perkataan ''tuai'' ini:

Tuai padi antara masak
Esok jangan layu layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu rinduan!